11 Januari 2020 - 17:36
Badan Kehakiman Iran Gesa Mahkamah Tentera Segerakan Siasatan Insiden Pesawat Boeing Ukraine

Badan kehakiman Iran telah mengarahkan siasatan segera ke atas insiden penembakan pesawat penumpang Ukraine berhampiran ibu kota Tehran pada awal minggu ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Badan kehakiman Iran telah mengarahkan siasatan segera ke atas insiden penembakan pesawat penumpang Ukraine berhampiran ibu kota Tehran pada awal minggu ini.

Ketua Badan Kehakiman Iran, Ebrahim Raisi mengeluarkan perintah tersebut pada hari Sabtu sambil menyeru mahkamah tentera untuk segera mengumpul semua data dan dokumen terkait dari Jabatan Staf Am Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan Agensi Penerbangan Awam negara itu.

Raisi juga meminta kesaksian daripada pegawai yang terlibat serta memiliki pengetahuan tentang insiden tersebut.

Ketua Pendakwa Raya Iran, Mohammad Jafar Montazeri mengarahkan mahkamah tentera Tehran melakukan siasatan segera terhadap insiden yang tidak disengajakan itu.

Pada hari Sabtu, Jabatan Staf Am Angkatan Tentera Republik Islam Iran mengeluarkan kenyataan bahawa kapal terbang Boeing Ukraine ditembak "secara tidak sengaja" akibat daripada "kesilapan manusia." .

Mereka juga menegaskan bahawa pihak yang bersalah akan dibawa ke mahkamah tentera untuk dibicarakan dengan adil.

Jabatan tersebut juga berkata, "melalui langkah pembaharuan asasi di dalam proses operasi angkatan tentera, kami juga akan memastikan kesilapan ini mustahil untuk diulangi."

Insiden tersebut tercetus berikutan tindakan pihak tentera yang meningkatkan tahap "kepekaan" sistem pertahanan udara negara itu berikutan peningkatan aktiviti udara tentera Amerika Syarikat di kawasan berhampiran negara Timur Tengah itu.

"Ancaman Presiden dan pemerintah tentera Amerika Syarikat" yang sebelum ini mengugut untuk menyerang Iran jika Tehran menunjukkan tindak balas terhadap tindakan Washington membunuh Jeneral Soleimani turut menyumbang kepada keputusan untuk meningkatkan tahap kesiagaan sistem pertahanan udara negara itu.

Kemalangan yang membunuh 176 orang -kebanyakannnya warga Iran dan Kanada- berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan tentera A.S di Iraq. -Press TV